Penjaga gol skuad hoki kebangsaan, S. Kumar, menghadirkan berita gembira di sebalik krisis kecederaan yang dihadapi pasukan negara apabila kecederaan paha yang dialami hampir pulih sepenuhnya, sekali gus mencerahkan peluang untuk menyertai program Jelajah Eropah bulan depan.

Kebimbangan peminat hoki tanah air mengenai posisi penjaga gol skuad negara berkemungkinan dapat diselesaikan tatkala kecederaan yang dialami Kumar dijangka hanya memerlukan tempoh kira-kira tiga minggu lagi untuk pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan di Institut Sukan Negara (ISN).

Bermula Ahad ini, Kumar dijangka akan mula menjalani latihan ringan bersama pengendali kebangsaan, Roelant Oltmans, dan situasi itu semestinya melegakan skuad negara tatkala penjaga gol simpanan yang menggalas tugas utama sepanjang ketiadaan Kumar, Hairi Abdul Rahman, kini terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan lutut.

Ikuti perkembangan lanjut dalam Nadi Arena jam 7:30 malam ini.