Kuala Lumpur kembali menjuarai kejohanan sepak takraw Piala Emas Khir Johari menundukkan Terengganu di final selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2014.

Saingan set pertama oleh regu pertama kedua-dua pasukan bersaing sengit sebelum dimenangi Kuala Lumpur 23-21.

Tersentak, trio Terengganu yang diterajui apit kanan skuad kebangsaan, Hanafiah Dollah bangkit untuk menang 21-15.

Bagaimanapun, memasuki set ketiga Kuala Lumpur lebih ampuh untuk menang 22-20.

Dalam saingan regu kedua, Terengganu nyata bukan saingan Kuala Lumpur apabila tewas mudah 21-18, 21-9 sekaligus memberikan kemenangan bersih buat pasukan ibu kota itu.

Kuala Lumpur bawa pulang wang hadiah RM20, 000 selaku pemenang manakala Terengganu menerima RM15,000.

Aksi mantap Kuala Lumpur dalam kejohanan tersebut turut memperlihatkan anugerah Tekong Terbaik menjadi milik tekong Ahmad Aizat Nor Azmi dan Apit Kiri Terbaik jadi milik Amirul Zazwan Amir sementara Hanafiah bawa pulang anugerah Killer Terbaik.

Ketiga-tiga pemain tersebut membawa pulang wang hadiah RM2,000.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya menewaskan Kelantan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat yang berlangsung di sebelah petang.