Kuala Lumpur tidak berdepan masalah memastikan slot ke perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Kelantan, hari ini.

Kuala Lumpur, yang membariskan Amirul Zazwan Amir, Sulaiman Salleh dan Norhaffizi Abd Razak sebagai regu pertama nyata berhasil apabila mereka mempamerkan taring sebaik perlawanan bermula.

Langkah serba tidak menjadi regu Kelantan yang diwakili Saufi Salleh, Hafiz Rawi dan Yusry Yusoff bijak dimanfaatkan regu Kuala Lumpur untuk menguasai set pertama 21-14.

Hasrat Kelantan untuk bangkit dalam set kedua juga menemui jalan buntu.

Aksi kemas Kuala Lumpur mudah memastikan mereka mendahului saingan 1-0 selepas menang 21-11.

Regu kedua Kelantan cuba bangkit menghadirkan tentangan, namun anak buah Azhar Sarbini membuktikan mereka kekal ampuh dengan kemenangan 21-18 dalam set pertama sebelum mengukuhkan cengkaman dalam set kedua.

Regu Kelantan yang berjuang habis-habisan untuk mengheret perlawanan ke regu ketiga, terus menemui jalan buntu apabila Kuala Lumpur akhirnya menoktahkan cabaran mereka dengan kemenangan 21-18 dalam set kedua.

Kuala Lumpur kekal di landasan terbaik untuk mengulangi kejayaan menjuarai Piala Emas Khir Johari tahun ini selepas kali terakhir menjulangnya pada 2014.