Kriteria dan keupayaan calon jurulatih lebih penting dan tidak semestinya dari luar negara, kata Timbalan Presiden Kesatuan Hoki Malaysia (KHM), Datuk Dr. S. Shamala, berkenaan pelantikan ketua jurulatih baru skuad hoki wanita negara yang akan diumumkan pada awal April ini.

KHM akan mengumumkan pengganti kepada bekas jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, selepas satu sesi temu duga yang membabitkan kesemua 21 calon.

Proses itu turut melibatkan tujuh calon dari luar negara, antaranya Ireland dan Belanda.

"Kami perlu memberikan interaksi yang mendalam supaya dapat memilih calon terbaik.

"Kemungkinan besar kami akan mengumumkannya pada awal bulan April ini," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Shamala turut mendedahkan bahawa KHM akan mengadakan perbincangan dengan setiap ketua jurulatih pasukan yang bersaing dalam Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) untuk mendapatkan pelepasan pemain kebangsaan.

Ia kerana skuad remaja wanita negara akan menghadapi Piala Remaja Asia di Jepun, April ini.

Kejohanan itu juga akan menjadi platform bagi melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Wanita tahun depan.

"Skuad negara mempunyai tempoh dua bulan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Piala Asia.

"Mungkin kami perlu berbincang dengan jurulatih setiap pasukan (LHRM) untuk memberikan keutamaan buat pasukan kebangsaan," tambahnya.