Institut Sukan Negara (ISN) lega apabila lima penerjun negara yang baru pulang dari Chengdu, China tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan koronavirus dan keputusan penuh ujian kesihatan itu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Lima penerjun negara yang berlatih di China -- Pandelela Rinong, Leong Mun Yee,, Wendy Ng, Kimberly Bong dan Enrique Harold -- terpaksa pulang lebih awal kerana mengkhuatiri wabak berkenaan.

Sebaik tiba di tanah air hari ini, mereka terus dibawa ke ISN bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Penelitian awal mendapati kelima-lima mereka tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan.

"Kami akan melakukan pemantauan selama 14 hari untuk melihat sekiranya ada simptom seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli.

"Selama 14 hari ini, pegawai kesihatan kami akan memantau semua atlet dan pegawai ini bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang simptom.

"Sekiranya terdapat simptom, kami akan merujuk kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), klinik dan hospital," katanya.

Penerjun negara dilaporkan mengamalkan disiplin yang ketat dengan mengikuti arahan pihak berkuasa China walaupun Chengdu terletak kira-kira 1,000 kilometer dari kawasan Wuhan yang terjejas teruk.

Setakat ini, lebih 200 orang meninggal dunia kerana wabak itu.

Ketika ini, hanya bekas juara dunia edisi 2017, Cheong Jun Hoong, yang masih meneruskan latihannya di China.

Sementara itu, penerjun negara, Mun Yee, menyifatkan pengalamannya sepanjang berada di Chengdu sebagai sesuatu yang mendebarkan.

Ini kerana dia dan rakan-rakannya terpaksa mengikut arahan pihak berkuasa untuk hanya berada di hotel penginapan dan venue latihan.

Mereka juga terpaksa melalui ujian pemeriksaan ketat sebelum tiba ke tanah air.

"Memang semua bimbang tetapi langkah kawalan di China dan Malaysia amat-amat ketat.

"Kami sampai di lapangan terbang sahaja, mereka sudah melakukan imbasan.

"Kami juga menggunakan topeng muka dan gogal dan menjalani pemeriksaan di ISN.

"Semua OK, jadi saya amat lega," katanya.




Editor: Muzaffar Musa