"Cemerlang." Demikian rumusan Pengarah Bahagian Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Safrushahar Yusoff, terhadap pencapaian kontinjen negara dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018 selepas Malaysia berjaya mengatasi sasaran 15 pingat emas.

Kontinjen negara diletakkan sasaran untuk mengulangi pencapaian 15 pingat emas di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Bermula perlahan dengan kegagalan beberapa prospek emas negara, Malaysia dilanda hujan emas pada hari keempat dengan kilauan tujuh emas sebelum cemas untuk membutirkan emas ke-15.

Akhirnya, ia dijelmakan Eddy Bernard dalam acara lompat jauh sebelum dua lagi emas hadir pada hari terakhir menerusi berbasikal trek hari ini untuk memastikan 17 emas keseluruhan.

"Apa yang boleh saya rumuskan, olahraga, berbasikal, renang dan ping pong tergolong dalam kategori sukan yang cemerlang.

"Semangat dan perancangan yang kami buat telah menjelmakan pingat emas buat negara serta membantu mencapai sasaran yang ditetapkan," kata Safrushahar.

Kontinjen negara turut melakar dua rekod dunia menerusi atlet olahraga, Ridzuan Puzi dan Abdul Latiff Romly, selain mencipta empat rekod baru Asia dan sembilan rekod temasya.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan prospek emas negara gagal dalam misi masing-masing, antaranya pelari pecut T12, Afiq Ali Hanafiah, Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) dan jaguh badminton para, Cheah Liek Hou.

"Walaupun gagal, mereka sebenarnya gagal di peringkat tertinggi.

"Mungkin kami akan menilai semula pencapaian mereka tetapi saya tidak nampak mengapa mereka perlu diketepikan kerana prestasi mereka berada di tahap tersendiri," ujarnya.