Johanna Konta terpaksa digugurkan daripada Kejohanan Tenis Wimbledon selepas menjadi kontak rapat COVID-19, sehari sebelum kejohanan itu membuka tirai.

Pemain British berusia 30 tahun itu, yang sepatutnya memulakan saingan selaku pemain pilihan ke-27, perlu menjalani pengasingan selama 10 hari berikutan kes positif berkenaan.

Akibatnya, dia tidak dapat mencuba untuk memperbaiki pencapaian terbaiknya layak ke separuh akhir kejohanan grand slam itu empat tahun lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan kejohanan itu berkata: "Johanna Konta telah digugurkan daripada Kejohanan Wimbledon -- sejajar dengan ketetapan kerajaan, dia akan menjalani pengasingan selama 10 hari selepas menjadi kontak rapat kepada individu yang diuji positif COVID-19.

"Yafan Wang akan menggantikan tempatnya. Kami berasa simpati terhadap Johanna dan berharap dapat segera melihatnya kembali ke gelanggang."