Johanna Konta menjadi nama besar pertama tersingkir dalam pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat selepas pilihan ketujuh kejohanan itu tewas kepada Aleksandra Krunic selepas aksi tiga set di Flushing Meadows.

Konta merupakan satu daripada lapan pemain yang memulakan kejohanan grand slam terakhir tahun ini dengan peluang untuk merebut status no.1 dunia.

Bagaimanapun, harapannya terkubur selepas tewas kepada pemain ranking ke-78 dunia, Krunic, 4-6, 6-4, 6-3.

Ketika di Terbuka AS 2014, Krunic menewaskan Madison Keys dan piliihan ketiga, Petra Kvitova, sebelum kecundang di tangan Victoria Azarenka dalam pusingan keempat.

Krunic sekali lagi mempamerkan kejutan semalam meskipun kemenangannya dibantu oleh aksi hambar Konta yang hanya menyempurnakan 45 peratus daripada servis pertama.

Krunic akan berdepan Ajla Tomljanovic atau Johanna Larrson dalam pusingan kedua.