Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, tidak menekan butang panik apabila sandaran utama negara dalam acara 100 meter, Khairul Hafiz Jantan, gagal meraih pingat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, sebaliknya positif dia mampu menamatkan kemarau pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan.

Acara riben biru itu gagal menyerlahkan kemampuan atlet Malaysia di Singapura apabila raja pecut negara itu yang menjadi tumpuan gagal beraksi di tahap sebenar dengan sekadar menduduki tempat keempat hasil catatan perlahan, 10.86 saat.

Bagaimanapun, Karim menjelaskan keputusan sedemikian tidak akan memberi kesan kepada persiapan Sukan SEA kerana inilah masa yang tepat untuk Khairul belajar daripada kekurangan dalam kejohanan itu.

Dia percaya pemegang rekod kebangsaan 100m itu mampu merangkul pingat emas buat negara selepas 14 tahun, selepas Nazmizan Muhammad kali terakhir menjuarainya dalam edisi 2003.

"Saya tidak terkejut (dengan pencapaiannya di Singapura), ini kerana dia masih keletihan kerana baru balik dari Afrika Selatan.

"Dia juga mengalami kecederaan ringan," katanya.

Secara keseluruhan, Karim berpuas hati dengan pencapaian semua atlet negara dan menuntut usaha berterusan mereka sehingga temasya dwi-tahunan itu nanti.

"Ini sesuatu yang dinanti-nantikan untuk kita meraikan kejayaan memungut beberapa pingat.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana mereka berada di landasan yang betul."