Penantian Tiger Woods untuk gelaran utama ke-15 buat dirinya berlanjutan selepas Brooks Koepka mengesahkan kemenangan dengan perbezaan dua pukulan dalam Kejohanan Golf PGA Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Koepka meraih gelaran utama ketiganya dan yang kedua pada 2018 dengan jumlah 16 bawah par di Bellerive Country Club, St Louis.

Pemain berusia 28 tahun itu, yang memulakan pusingan akhir dengan pendahuluan dua pukulan, mencatat empat bawah par 66 untuk melebarkan penguasaannya dalam kejohanan utama setelah mempertahankan gelaran Terbuka Amerika Syarikat, Jun lalu.

Di sebalik dua bogey awal, Koepka berupaya menyekat ancaman kuat bekas pemain nombor satu dunia, Woods, dan jaguh Australia, Adam Scott, untuk kesudahannya menjulang Trofi Wanamaker.

Woods berkesudahan di tempat kedua dengan jumlah 14 bawah par selepas birdie menarik pada lubang ke-72 dan pada satu ketika amat hampir dengan kemenangan.

Pemenang 14 gelaran utama itu, yang telah mengatasi kecederaan belakang yang serius, bertarung hebat sepanjang hari, dengan catatan 64 dalam pusingan akhir itu untuk penyudahan terbaiknya dalam satu kejohanan utama sejak 2009.

Woods, yang memulakan minggu ini dengan satu bogey dan satu double-bogey, menggemuruhkan sorakan di St Louis dengan kebangkitan mengagumkan selepas itu.

Jumlah 196 (66-66-64) catatannya sepanjang tiga pusingan terdahulu menandakan catatan terendahnya bagi 54 lubang dalam satu kejohanan utama dalam kariernya dengan perbezaan empat pukulan.

Birdie di lubang 12, 13 dan 15 memberikan Woods – yang masih menghambat rekod 18 gelaran utama milik Jack Nicklaus – peluang untuk menambah gelaran tetapi pukulan tee yang memasuki kolam di lubang 17 par 5, melenyapkan peluangnya.

Scott, yang bermain dalam keadaan duka kematian rakan senegaranya, Jarrod Lyle, kepada kanser minggu lalu, menyusul di tempat ketiga, tiga pukulan di belakang dengan catatan 67.

Stewart Cink (67) dan bintang Sepanyol, Jon Rahm (68) berkongsi tempat keempat dengan jumlah 11 bawah par.

Juara bertahan, Justin Thomas, pula mengetuai satu kelompok yang mengandungi Francesco Molinari (67), Thomas Pieters (66) dan Gary Woodland (69) berkongsi tempat keenam dengan 10 bawah par.