Kontinjen para negara sedia menghadapi temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan semangat lebih luar biasa selepas mendapat motivasi tambahan daripada kejayaan atlet normal menjuarai temasya Sukan SEA yang berakhir Rabu lalu.

Malaysia mempamerkan persembahan paling cemerlang dalam sejarah penyertaan Sukan SEA dengan meraih 145 pingat emas untuk menjadi juara keseluruhan temasya dwitahunan itu.

Kini impian sama turut cuba dilakukan oleh kontinjen para negara meskipun Thailand dan Indonesia kekal menjadi pesaing utama.

Malaysia menyasarkan 103 pingat emas, sekali ganda daripada pencapaian di Singapura pada 2015, iaitu 52 emas.

Begitupun, ketua kontinjen negara, Laksamana Pertama (B) Datuk Subramaniam Raman Nair, optimis jumlah itu bukan halangan kerana seluruh atlet para negara tidak sabar untuk membuktikan kemampuan.

"Semangat mereka amat tinggi sekali selepas menyaksikan pencapaian Sukan SEA. Sebagai tuan rumah, ia dijadikan sebagai kelebihan buat atlet para negara mempamerkan persembahan terbaik," katanya.

Kontinjen para negara mendaftarkan diri dalam kem latihan fasa akhir di hotel penginapan rasmi mereka di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, hari ini.

Secara keseluruhan, 326 atlet akan membawa cabaran Malaysia dalam Sukan Para ASEAN nanti.

Subramaniam turut berpuas hati dengan maklum balas positif daripada setiap pengurus pasukan mengenai persiapan yang telah dijalankan sehingga kini.

"Sukan Para ASEAN ini merupakan pentas untuk memberikan pengalaman yang baru buat atlet-atlet baru manakala buat mereka yang lebih berpengalaman, mereka sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan dalam temasya ini."