Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa hasil bedah siasat mendapati kematian mengejut pemanah senior negara, Haziq Kamaruddin, adalah disebabkan "komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis)".

KKM, bagaimanapun, menegaskan siasatan lanjut masih berjalan dan tiada sebarang bukti menunjukkan ia berkait langsung dengan vaksin COVID-19.

"Kematian mengejut Allahyarham Haziq Kamaruddin, atlet memanah negara, yang dibawa ke Hospital Kajang semalam telah disiasat di bawah Sudden Death Report (SDR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di mana arahan bedah siasat telah dikeluarkan untuk menentukan sebab kematian," kata kenyataan itu.

"Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah calitan ujian COVID-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus tersebut. Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

"Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal. Namun, sehingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian ini adalah berkaitan langsung dengan vaksinasi COVID-19."