Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), V. Mahinda, mengesahkan pihaknya sudah menerima notis daripada pemaju untuk mengosongkan Kinrara Oval pada hujung bulan ini, sekali gus memohon campur tangan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Masa depan ribuan pemain kriket Malaysia menjadi tidak menentu susulan pengambilalihan tapak Kinrara Oval seluas lima ekar oleh pihak pemaju untuk tujuan pembangunan.

Lebih malang, MCA semakin kesuntukan masa untuk menyelamatkan venue yang diiktiraf antara yang terbaik di benua Asia ini.

"Saya berharap menerusi kerajaan yang memerintah, kami dapat mengaturkan rundingan dan mencari jalan penyelesaian," ujar Mahinda.

Kinrara Oval siap dibina pada 2003 dan sejak itu, venue ini sudah menganjurkan kejohanan bertaraf tinggi seperti Piala DLF membabitkan India, Australia dan Persekutuan Hindia Barat serta Piala Dunia Bawah 19 tahun.

Bagaimanapun, pihak pemaju sudah menghantar notis untuk mengosongkan venue ini pada 31 Oktober.

"Sukan kriket masih boleh menggunakan kemudahan di taman atau padang bola sepak yang lain.

"Tetapi, venue ini istimewa buat sukan kriket selepas berusaha keras untuk membangunkan tempat ini kerana mereka berpandangan mengapa tidak kekalkan tempat ini sebagai pusat ikonik kriket," ujar Penaung MCA, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar.