Tiga pemain hoki kebangsaan ditawarkan beraksi dalam liga Jerman dan Scotland, namun Ketua Pegawai Eksekutif, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Logan Raj, berkata pihaknya terpaksa menolak tawaran itu demi kepentingan negara.

Aksi ketiga-tiga pemain terbabit dalam Liga Hoki Malaysia dan ketika membantu skuad negara menjuarai pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, berjaya memikat kelab luar negara.

Kelab divisyen pertama liga Jerman, Blau Weiss dan Uddingston Hockey Team dari Scotland sudah menghantar permohonan rasmi kepada KHM.

Namun, KHM tidak dapat melepaskan pemain terbabit kerana jadual padat menjelang separuh akhir Liga Dunia, Jun depan yang juga kelayakan Piala Dunia 2018.

"Terdapat beberapa pemain yang menerima tawaran untuk beraksi di Eropah tetapi kami terpaksa menolak kerana mereka perlu memberikan tumpuan kepada skuad negara," kata Logan.

Setiap pemain kebangsaan perlu mendapatkan "sijil tanpa bantahan" untuk berksi di luar negara atau mereka boleh dikenakan tindakan jika beraksi tanpa kelulusan.

Liga hoki Jerman akan bermula bulan depan sementara Scotland sudah memasuki pusingan kedua.

Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, memberikan pelepasan dua minggu kepada anak buahnya selepas menjuarai pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Ahad lalu.