Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) perlu mencari pelan B untuk mewujudkan venue latihan skuad hoki dalam dewan apabila syarikat yang menguruskan kompleks Majlis Sukan Negara Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kuala Lumpur telah menamatkan operasi.

Kompleks itu kini diserahkan kepada Institut Sukan Negara (ISN) untuk mewujudkan hospital sukan, Kompleks MSN Jalan Raja Muda Abd Aziz ialah venue latihan hoki dalam dewan dan sepak takraw tahun lalu.

Ia ditutup sejak awal tahun ini selepas sebuah syarikat yang dilantik, menamatkan operasi mereka.

Perkembangan tersebut menyaksikan KHM yang baru mengumumkan pelan menubuhkan skuad negara secara sepenuh masa selepas tamat Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia, November depan -- perlu mencari jalan lain.

"Bagi sesi latihan ia masih sesuai namun pertandingan kurang sesuai kerana kesukaran untuk barisan penonton hadir menyaksikan perlawanan. Kami berharap memiliki sebuah fasiliti seperti Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di mana kami memiliki gelanggang khas untuk skuad negara," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan KHM, Rodhanizam Radzi.

Skuad hoki dalam dewan negara berlatih di venue ini hingga meraih pingat emas kategori lelaki dan wanita Sukan SEA Filipina, tahun lalu.

Bagi skuad sepak takraw, mereka sudah berpindah ke MSN Keramat.