Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Radhakrishnan Nair, menegaskan Pengarah Teknikal, Terry Walsh, perlu meninggalkan Bukit Jalil kerana badan induk itu berdepan masalah untuk membayar gaji bulanannya yang mencecah puluhan ribu ringgit.

KHM perlu membuat keputusan sama ada mengekalkan Walsh atau ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa kerja dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan KHM berdepan masalah kewangan untuk menampung gaji kedua-dua pakar hoki dunia itu.

Radhakrishnan menganggap Malaysia lebih memerlukan khidmat Oltmans untuk menghadapi kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula April depan.

"Adakah kita memerlukan dua jurulatih luar buat masa ini?

"KHM sedang berdepan masalah kewangan manakala MSN pula mengetatkan peruntukan yang diberikan.

"Khidmat mereka bukannya murah, adakah kita perlu mengeluarkan belanja besar untuk mengekalkan mereka?" ujarnya.

Tambahnya: "Inilah masanya kami mengurangkan perbelanjaan dengan kaedah yang realistik dan berhemah.

"Kami tiada sebarang agenda peribadi dengan Walsh sepanjang tempoh tiga tahun ini."

Walsh pernah dilantik pengendali negara pada 1991 hingga 1993.

Beliau kemudian membimbing Belanda, Amerika Syarikat dan India sebelum kembali ke Malaysia pada 2015 sebagai pengarah teknikal.

KHM akan mengadakan sidang media minggu depan untuk menjelaskan status Walsh.