Calon presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, mengemukakan bukti proses pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebagai calon kedua untuk bertanding jawatan presiden MPM sebagai tidak sah.

Sebelum ini, timbul keraguan apabila Khairy menggunakan tiket sebagai timbalan presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia untuk bertanding jawatan presiden MPM menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) Sabtu ini.

Megat Shahriman mendakwa mempunyai bukti bahawa jawatan Khairy itu tidak sah disebabkan tidak mengikut perlembagaan.

"Mengikut perlembangaan persatuan, untuk timbalan presiden meninggalkan jawatan, mereka harus berhenti dan meninggalkan jawatan dan wakil yang tewas kerana merebut kerusi itu harus dipilih," katanya.

Tambah Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca) itu, semua bukti sudah diberikan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dengan harapan satu perubahan akan berlaku walaupun berbaki hanya tiga hari.

"Saya melakukan sidang media ini kerana terkejut dan berasa perkara ini adalah perkara yang paling jijik sekali. Kepada individu yang mahu bertanding, anda mahu memimpin semua orang ke dalam longkang ke? Apa ini semua?"

Selain Khairy, empat lagi calon yang didakwa menghantar borang pencalonan 15 Jun lalu ialah Dr. Radha S. Krishnan dan Ng Keng Chuan bagi jawatan timbalan presiden manakala untuk jawatan naib presiden ialah Siti Zaharah dan Dr. Naharuddin Hashim.

Sementara itu, Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM), Muhd Iqbal Sulaiman, yang bakal bertanding jawatan naib presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), melihat kemelut menjelang pemilihan badan induk itu mampu diselesaikan dengan baik dan berhemah.

"Apa yang penting, kita harus memilih presiden yang benar-benar layak dan kontroversi yang menyelubungi Khairy merupakan sesuatu yang remeh-temeh," katanya.

Tambahnya, memegang satu jawatan dalam MPM tidak boleh dipandang rendah dan ia memerlukan komitmen yang tinggi kerana tempoh pimpinan selama lima tahun.

"Ini merupakan satu tugas yang penting kerana anda perlu memimpin dalam tempoh yang panjang dan beberapa kejohanan utama harus diberikan keutamaan serta sasaran apabila atlet beraksi."