Pelumba supermoto negara, Khairulamirin Yahaya, melakar sejarah sukan permotoran negara apabila muncul pelumba Malaysia pertama beraksi dalam Kejuaraan Supermoto Eropah S4.

"Kami telah banyak melakukan latihan dan berdasarkan catatan masa yang dilakukan, kami mampu bersaing dengan baik dalam saingan S4 nanti," katanya.

Selepas dua tahun berkecimpung dalam Kejuaraan Supermoto Sepanyol itu, pelumba berusia 19 tahun itu melangkah setapak lagi ke era baharu dalam kariernya apabila bakal beraksi di Grand Prix Abruzzo, Itali.

Khairulamirin yang menyertai Junior Talent Team tahun lalu, bakal berlumba dalam kelas S4 Asphalt merupakan kelas baharu diperkenalkan pada 2021, bersesuaian dengan pelumba mempunyai latar belakang berlumba di litar kerana tiada aksi lompatan berdebu, berbanding kelas S1GP dan S2.

Keputusan itu dicapai selepas Khairulamirin mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam Kejuaraan Supermoto Sepanyol yang mencetus minat pasukannya untuk membawanya ke Kejuaraan Eropah.

"Jika dapat melakukan permulaan yang baik dalam sesi kelayakan, saya berasakan mampu memberikan saingan di selekoh pertama ketika perlumbaan bermula nanti," kata Khairulamirin lagi.

"Saya berasakan kami sepasukan akan berusaha untuk menyesuaikan diri dan seperti sedia maklum, pelumba Itali sangat mahir dan pantas dalam saingan ini namun kami akan tetap berusaha."