Pelumba negara, Khairulamirin Yahaya, terlibat dalam kemalangan ngeri dalam Kejuaraan Supermoto Sepanyol 2021.

Lebih mesra disapa Rin, pelumba negara itu mengalami kemalangan tersebut ketika sesi latihan bersama pasukannya di Litar Albaida, Valencia, sehari sebelum sesi kelayakan masa.

Rin mengalami kecederaan patah tulang pelvis serta pendarahan dalaman di arteri utama bahagian paha yang agak serius.

"Saya dalam keadaan stabil di Hospital Valencia.

"Saya akan menjalani pembedahan sekitar 8 pagi di Sepanyol.

"Terima kasih atas segala doa di media sosial," katanya dalam satu rakaman buat peminat di Malaysia.





Bapanya, Yahya Mohamad Nor, menjelaskan Khairulamirin memerlukan rehat sekurang-kurangnya tiga bulan untuk kembali aktif.

"Setakat ini dia stabil.

"Semalam doktor pakar memeriksa tulang pelvisnya.

"Semua pendarahan dalaman sudah berhenti, sekarang mereka akan kuatkan arteri kerangkanya.

"Dia mengalami patah beberapa bahagian di pelvis tapi saya tidak pasti berapa banyak.

"Sebelum pembedahan ini, doktor menyarankan dia berehat selama tiga bulan.

"Jadi dia tidak boleh angkat benda berat dan berlatih sepanjang tempoh itu bagi membolehkan tulang dan sendinya kuat.

"Selepas itu dia baru boleh (berlumba semula)," katanya.