Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, kini menubuhkan sebuah pasukan yang bersaing dalam saingan Cub Prix dan bersedia untuk menjadi pencabar bagi musim ini dalam usaha untuk memperkukuhkan kariernya dalam bidang permotoran di Malaysia.

Pasukan yang dinamakan Superkip Honda Racing Academy itu ditubuhkan bersama ayahnya, Pawi Omar, sejak penghujung tahun lalu lagi.

Sebagai permulaan, pasukan itu menghimpunkan lima pelumba muda yang bersaing dalam dua kategori, iaitu CP115 dan Wira-KBS.

Antara pelumba yang menjadi sandaran adalah adiknya sendiri, Annuar Ibrahim Pawi, yang kini beralih ke kategori CP115 selepas unggul dalam kategori Wira-KBS tahun lalu.

"Pada mulanya memang agak sukar kerana memegang status pasukan baru, mekanik pasukan juga perlu mencari tetapan terbaik untuk jentera tetapi kami akan cuba meningkatkan mutu perlumbaan," kata Khairul Idham.

"Apabila beraksi mewakili pasukan abang sendiri, saya menjadi lebih bersemangat. Aksi pada tahun lalu agak mencabar tetapi cabaran kali ini lebih tinggi. Saya mahu cuba yang terbaik pada tahun ini," ujar Annuar.

Bercerita tentang kariernya dalam saingan Moto2, dia mengakui tidak bermula dengan baik ketika perlumbaan di litar Losail, Qatar sebelum ini kerana sedang menyesuaikan diri akibat pembedahan di tangan dan masih belum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, dia mengharapkan perlumbaan di Argentina pada Isnin depan akan memberikan tuah buatnya memandangkan pada dua tahun lalu dia mencipta sejarah apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang menaiki podium ketika bersaing dalam kelas Moto3.

"Saya mula membiasakan diri dalam saingan Moto2 dan diharapkan dalam aksi seterusnya, saya dapat meningkatkan prestasi," tambah Khairul.