"Belum masanya untuk pecahkan rekod kebangsaan," itu yang diungkapkan raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, yang enggan menampilkan prestasi sebenar terlalu awal dalam Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Khairul Hafiz mengungguli acara reben biru itu dengan catatan 10.34 saat yang menjadi pencapaian terbaiknya setakat ini, mengatasi 10.38s yang dilakukan sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Semestinya satu momentum terbaik dapat dirasai atlet berusia 20 tahun itu dalam kejohanan tempatan yang merupakan aksi sulungnya bagi acara 100m tahun ini selepas pulih daripada kecederaan harmstring tahun lalu.

Bagaimanapun, Khairul Hafiz enggan terlalu ghairah ingin memperbaharui rekod kebangsaan 10.18s miliknya dalam kejohanan ini kerana saat yang bermakna itu ingin dilakukannya di pentas Sukan Komanwel, bulan depan.

"Ini merupakan persembahan pertama saya selepas kembali pulih daripada kecederaan hamstring," kata Khairul Hafiz.

"Buat masa ini, saya hanya memberikan tumpuan kepada perlepasan larian dan mahu terus mengekalkan momentum ini."

Kejohanan Perak All Comers bermula Jumaat ini akan menjadi pemanas badan terakhir untuk pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 ini sebelum ke Gold Coast di mana dia hanya menyertai acara 4x100 bersama Nixson Kennedy, Badrul Hisham Abdul Manap dan Jonathan Nyepa.

"Saya tidak akan menyertai acara 100m di Lumut, di sana saya akan memberikan tumpuan kepada 4x100m," tambahnya.