Atlet memanah negara, Khairul Annuar Mohamad, mengharapkan akan ada banyak latihan pusat untuk skuad memanah di negara beriklim sejuk bagi membantu menghadapi persiapan awal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad memanah recurve negara baru sahaja pulang daripada menjalani latihan pusat di Korea Selatan.

Tempoh sebulan di negara itu adalah sebahagian proses untuk pemanah negara menyesuaikan diri bertanding dalam cuaca beriklim sejuk.

Antara cabaran yang dihadapi adalah sut memanah yang tebal, selain mengaplikasikan teknik pernafasan yang berbeza.

Namun tempoh sebulan sahaja tidak mencukupi buat pemanah negara untuk menunjukkan prestasi yang sebenar.

"Selama empat minggu di Korea telah membantu kami untuk menyesuaikan diri beraksi dan ia merupakan satu pengalaman yang berguna buat skuad memanah negara," kata Khairul Annuar.

Latihan pusat di negara beriklim sejuk merupakan sebahagian perancangan jurulatih negara, Lee Jae Hyung, yang menjangkakan beberapa Kejohanan Piala Dunia dan siri kelayakan Olimpik yang akan berlangsung nanti akan dijalankan dalam cuaca sedemikian.

"Latihan ini telah memberikan situasi sebenar ketika pertandingan nanti, kami berjaya memperbaiki beberapa teknik dan saya berharap kami mampu mencipta sesuatu dalam pertandingan akan datang."