Laporan acara renang terbuka dikaitkan dengan kes doping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 mengejutkan pemenang pingat emas negara kategori lelaki, Kevin Yeap, yang bakal memulakan karier dalam bidang kejurulatihan, minggu depan.

Renang terbuka dikaitkan sebagai acara yang terbabit dengan kes doping ketika temasya dwitahunan itu bulan lalu.

Jawatankuasa Perubatan dan Anti-doping Sukan SEA masih menanti baki keputusan 104 sampel air kencing daripada makmal ujian doping di New Delhi, India, Jumaat ini, dengan satu kes positif dicatatkan.

Apa yang melegakan, jawatankuasa itu mengesahkan tiada atlet negara dikesan positif, namun berita itu tetap mengejutkan Kevin, dengan kategori wanita turut diungguli atlet negara menerusi Heidi Gan.

"Saya agak terkejut dengan berita ini. Setiap atlet perlu bertanding tanpa sebarang bantuan bahan terlarang.

"Mungkin ia satu kesilapan daripada pengambilan makanan tambahan. Bagi saya sebagai atlet, kita perlu peka dengan apa yang kita lakukan," katanya.

Jawatankuasa Perubatan dan Anti-doping Sukan SEA sudah mendapat maklum balas daripada atlet terbabit dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Sementara itu, Kevin bakal ke Ipoh, Perak untuk membincangkan tawaran sebagai ketua jurulatih renang negeri itu.

"Saya memiliki banyak pengalaman dalam sukan renang, jadi bagi saya itu bukan satu masalah. Apa yang penting ialah mencari jalan terbaik menyampaikan pengetahuan yang saya miliki kepada atlet baru," tambahnya.