Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak boleh mendedahkan siapa atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 yang didakwa positif ujian doping sehingga 15 Oktober depan, demikian dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PABM, Abu Hanapiah Ismail.

Katanya, PABM tidak boleh mendedahkan kepada umum kerana mahu memberikan peluang kepada individu terbabit untuk membela diri.

Atlet yang didakwa positif doping ketika temasya itu diberikan masa sehingga 15 Oktober, sama ada untuk mencabar keputusan yang dibuat atau mengaku bersalah.

Namun, dalam masa yang sama, pihak PABM akan mendengar terlebih dahulu penjelasan bagaimana bahan terlarang, steroid, dapat dikesan dalam badan atlet berkenaan.

“Di dalam surat yang telah dihantar kepada atlet terlibat, dia perlu memberikan jawapan sama ada mahu menguji sampel B atau tidak. Jika dia tidak bersetuju, kami akan mengambilnya sebagai pengakuan,” kata Hanapiah.

Bagi kes ini, Hanapiah tidak menolak kemungkinan jurulatih yang bersamanya ketika temasya berkenaan, bakal terkena tempias hukuman jika atlet itu disabitkan kesalahan.

“Pengakuan atlet itu penting, dari situ kami akan dapat membuat penilaian sama ada jurulatih turut terlibat dengan pengambilan bahan terlarang ini.”

Kelmarin, Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan empat pemenang pingat Sukma Sarawak positif menggunakan bahan terlarang.

Selain atlet angkat berat, dua atlet daripada sukan memanah didapati menggunakan sibutramine manakala seorang peninju dikenal pasti menggunakan bahan diuretics.