Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menganggap segala program anti-doping yang telah dilakukan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sudah cukup meskipun turut terpalit dengan kes melibatkan seorang atlet Malaysia.

Ada yang mempertikaikan program kesedaran dan anti-doping sebelum ini tidak berkesan apabila misi sifar kes doping Sukan SEA terjejas dengan adanya atlet negara terlibat.

Namun, Khairy menegaskan tiada lagi program yang perlu ditambah memandangkan segala kempen kesedaran telah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya sebelum temasya dwi-tahunan itu bermula.

Sehubungan itu, beliau dilihat lebih selesa untuk memberi ruang agar kes berkenaan selesai terlebih dahulu sebelum pihak lain membuat sebarang spekulasi.

"Berapa banyak program lagi yang kita nak buat? Kita buat program pada setiap masa dan saya akan meneruskannya," katanya, hari ini.

Sementara itu, untuk Hari Sukan Negara 2017 pada Sabtu ini, Khairy menjelaskan semua atlet yang beraksi dalam Sukan SEA telah diarahkan pulang ke negeri masing-masing untuk bersama-sama melakukan aktiviti bagi memastikan kemeriahan luar biasa dapat dirasai tahun ini.

"Majlis perasmian peringkat kebangsaan akan diadakan di Perkarangan Stadium Bukit Jalil pada jam 11 pagi. Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Antara aktiviti yang akan diadakan adalah larian, kayuhan basikal, bola jaring, futsal, sukan tradisi dan juga aktiviti kecergasaan yang lain," katanya.