Keris Conlay muncul juara Kejohanan Ragbi Malaysia selepas menewaskan Kelab Ragbi Eagles 15-12 dalam perlawanan akhir, petang tadi.

Babak pertama menyaksikan Keris mendahului 15-5 hasil tiga try yang dilakukan Fareed Yahya sebelum Eagles bangkit merapatkan kedudukan 15-12 dalam babak kedua perlawanan.

Keris mengekalkan disiplin dalam permainan mereka walaupun diasak lawan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan.

"Di atas kertas, kami adalah pasukan underdog berikutan lawan dibarisi pemain dan jurulatih dari New Zealand.

"Kami pula dibarisi pemain separuh masa. Namun, dengan kerja keras, kami berjaya merakamkan kejayaan," kata jurulatih Keris, Mohd Farid Syazwan.

Dalam pada itu, kapten Keris, Fairuz Abdul Rahman, menyifatkan semangat berpasukan yang kuat membantu mereka meraih kemenangan.

Ini adalah kejuaraan kedua Keris dalam saingan Liga Ragbi Malaysia musim ini selepas muncul juara saingan Liga Perdana.

"Jurulatih berpesan agar kami terus fokus, merendah diri dan memberikan aksi yang baik.

"Separuh daripada pemain Eagles merupakan pemain kebangsaan selain diperkuatkan pemain berpengalaman dari New Zealand tapi Alhamdulillah kami berjaya mengatasi mereka," katanya.