Buat sekian lama Hee Kar Yen merahsiakan sebab utama dia bersara daripada skuad boling tenpin kebangsaan.

Bagaimanapun, dalam satu temu bual khas Nadi Arena hari ini, bekas pemenang pingat perak Kejohanan Boling Asia itu membuka bicara betapa dia terpaksa melupakan sukan yang pernah sebati dengan darah dagingnya itu selepas mengalami serangan angin ahmar ringan.

Dia kini lebih selesa dikenali sebagai seorang penggubah bunga, bahkan hasil gubahannya itu turut mendapat pengiktrafan di pentas antarabangsa.

"Saya bukan bersara tetapi saya berhenti daripada skuad kebangsaan kerana saya amat tertekan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Keluar daripada skuad kebangsaan merupakan keputusan yang amat berat kerana boling sudah menjadi sebahagian daripada diri saya selama 20 hingga 26 tahun sehinggalah saya mengalami serangan angin ahmar ringan.

"Jadi, saya fikir sudah sampai masanya untuk saya melakukan sesuatu yang berbeza.

"Saya memang perlu berhenti kerana jika ada sesuatu berlaku kepada saya, sudah pasti saya akan menyesal kerana saya tidak pernah melakukan perkara lain selain boling.

"Apa yang doktor katakan, ia (serangan angin ahmar) berlaku kerana saya terlalu tertekan. Ketika itu saya sedang menjalani persiapan untuk Sukan SEA (Kuala Lumpur 2017).

"Saya masih ingat, hari itu adalah hari Jumaat. Saya menghubungi doktor kerana bahagian kanan badan saya tidak rasa apa-apa dan saya hilang imbangan.

"Perkara pertama yang doktor suruh lakukan adalah supaya saya senyum dan selepas itu barulah saya sedar bahawa saya sedang mengalami serangan angin ahmar ringan," katanya.

Nama Kar Yen kini mekar di pentas antarabangsa hasil gubahannya yang diinspirasikan daripada wanita Zulu Afrika.

500 jam yang dicurahkannya untuk menghasilkan gubahan itu menyaksikan hasil seninya diangkat sebagai karya terunggul dalam Cabaran Gubahan Antarabangsa 2020.