Penerimaan atlet kebangsaan bercampur-baur susulan pendekatan sistem kelayakan baru ke sukan temasya diterapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menetapkan syarat minimum ranking ketiga di peringkat Asia Tenggara untuk tersenarai sebagai atlet kategori A.

Khusus untuk Sukan SEA Manila 2019, MOM tidak lagi menggunakan had kelayakan lama yang bersandarkan pencapaian temasya, sebaliknya menuntut atlet untuk berada dalam kelompok tiga terbaik ataupun ranking keempat bagi acara berpasukan.

Dalam erti kata lain, atlet yang pernah meraih pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 belum pasti terjamin tempatnya untuk beraksi di Manila hujung tahun ini.

Antara yang menyuarakan kebimbangan adalah atlet lempar cakera, Irfan Shamsuddin, yang risau syarat kelayakan baru itu akan menyukarkan peluang beberapa atlet muda untuk bertanding atas tiket kategori A.

"Saya sudah lihat. Peringkat kelayakan saya adalah 63 meter dan tempat kedua memerlukan 60m. Jadi, ia tidak masuk akal sebenarnya," kata Irfan.

"Kalau betul diikut seperti apa yang ditetapkan oleh MOM, baguslah," kata Irfan.

Tidak kurang juga atlet yang masih keliru dengan sistem tersebut, antaranya jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, yang akan bertemu dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mendapat gambaran jelas sistem baru itu.

"Sekarang kami menunggu pengumuman daripada KOM. Kebiasaannya ia berlandaskan tempat pertama dan kedua dalam Sukan SEA," ujar Hup Wei.

Kesemua atlet mempunyai tempoh sehingga September depan untuk cuba melayakkan diri ke Sukan SEA Manila 2019.