Ian Poulter mengisahkan kejayaan Tiger Woods menjulang gelarannya yang ke-80 dalam Jelajah PGA sebagai “teramat istimewa buat golf” sambil rakan sepasukan Piala Ryder, Henrik Stenson, berasakan ia hanya menanti masa untuk legenda Amerika Syarikat itu kembali menjadi juara.

Woods menamatkan penantian lima tahun untuk bergelar pemenang semula dengan mengungguli kejohanan penutup musim – Kejohanan Jelajah – dalam suasana bergemuruh di East Lake, Atlanta, kelmarin.

Ia melengkapkan kebangkitan menakjubkan buat pemenang 14 gelaran utama itu yang dibelenggu masalah kesakitan belakang sejak beberapa tahun kebelakangan.

Ketepatan masa kemenangannya itu, yang menyusul selepas beberapa kali hampir mencapainya, tidak mungkin lebih baik, dengan Woods akan mewakili Amerika Syarikat dalam Kejohanan Piala Ryder, hujung minggu ini.

Poulter akan turut beraksi di Le Golf National, Paris itu untuk Pasukan Eropah tapi turut mengalu-alukan lonjakan besar yang dibawa Woods terhadap sukan itu.

“Saya fikir kita semua sedar betapa kuatnya pasukan Amerika ketika ini tapi jelas sekali apa yang dilakukan Woods sepanjang enam hingga lapan bulan lalu untuk meletakkan dirinya di posisi itu,” katanya kepada Sky Sports.

"Sebagai seorang peminat golf, anda harus menyukainya. Untuk melihatnya menang semula malam tadi (kelmarin) adalah teramat istimewa untuk golf, bukan hanya untuk Tiger.

“Tapi untuk dirinya sendiri secara peribadi, apa yang telah dilaluinya, segala reaksi negatif, dan mengembalikan dirinya di kedudukan itu untuk menang adalah sangat menakjubkan.

“Untuk golf, ia benar-benar menakjubkan, saya hanya punya rasa kekaguman – 80 kemenangan, bagaimana anda tidak harus angkat topi terhadap itu?”

Stenson, dalam menghamburkan sanjungannya, menambah bahawa Woods telah membuktikan dia mampu menyerap segala kepayahan bermain dalam Jelajah PGA secara kerap untuk kesudahannya bergelar juara semula.

“Saya sentiasa terfikir ia hanya menanti masa untuk berlaku. Saya tidak pernah mengtepikannya selagi tubuhnya mampu menanggungnya dan jelas sekali itulah yang dilakukannya,” katanya.

"Dia sudah begitu hampir buat beberapa kali – jadi ia hanya menanti masa untuk berlaku,” katanya lagi.