Regu ‘A’ Majlis Sukan Sekolah Sekolah Kelantan (MSSK) beraksi cemerlang mengalahkan Regu Emas Merah 2-0 (21-15 dan 21-17) dari Besut, Terengganu dalam perlawanan akhir Kejohanan Sepak Takraw Bawah 20 Tahun Piala Tok Pa 2017 di Wisma Sukan, Jalan Telipot, Kota Bharu, petang semalam.

Ketua pasukan, Baihaki A’rippin menyifatkan kemenangan tersebut sebagai motivasi tambahan kepadanya dan semua pemain negeri Kelantan untuk beraksi lebih baik di Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM), minggu depan.

“Alhamdulillah, kemenangan yang cukup bermakna apabila kami berjaya muncul juara dalam kejohanan yang disertai oleh 28 regu ini. Banyak lagi kelemahan yang ada dan Insya-ALLAH jurulatih akan memperbaikinya menjelang kejohanan MSSM, minggu depan.

“Lagipun, Kelantan menjadi tuan rumah kejohanan MSSM tahun ini dan saya harap kami mampu mencabar kejuaraan regu dan berpasukan bawah 18,”katanya.

Baihaki, yang juga sebahagian daripada pemain skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan tahun lepas beranggapan sikap tidak mudah menyerah kalah menjadi faktor utama kejayaan mereka dalam kejohanan julung kali diadakan.

“Dalam set kedua, jurulatih sentiasa meminta kami untuk fokus dan kurangkan kesilapan mudah. Kami tenang biarpun regu lawan (Emas Merah) cuba meningkatkan asakan. Alhamdulillah, kami tidak mudah tertekan dan hasilnya juara menjadi milik MSSK,”katanya.

Dalam final petang semalam, regu MSSK ‘A’ yang membariskan Muhammad Rezuiwan Mohd Rozali selaku tekong, Baihakki A’ripin (apit kanan) dan Wan Muhammad Aiman Wan Jusoh (apit kiri), meraih kemenangan set pertama 21-15 dalam masa 20 minit.

Namun begitu, Regu Emas Merah yang diwakili Muhammad Safwan Mohd Salleh (tekong), Zul Luqman Al-Hakim Ismail (apit kanan) dan Muhammad Faiz Roslan (apit kiri) cuba memberi tentangan di set kedua sebelum akur 17-21, sekaligus membolehkan regu MSSK membawa pulang wang tunai RM1000 dan medal kejuaraan.