Juara memanah para dunia, S. Suresh, yakin kemelut dalaman Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak akan menjejaskan program latihan dan kejohanan atlet kebangsaan menjelang tarikh tutup pendaftaran ke Sukan SEA Filipina, 15 Ogos depan.

Atlet negara tidak terkesan dengan situasi itu memandangkan program latihan dan penyertaan kejohanan akan diteruskan seperti biasa.

Cuma, wujud kebimbangan buat Suresh, yang kesuntukan masa untuk melepasi had kelayakan ke temasya itu, dalam percubannya untuk bersaing dengan atlet normal.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menetapkan tarikh 15 Ogos depan sebagai tarikh tutup pemilihan atlet sebelum menghantar senarai penuh ke Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), 2 September depan.

"Saya dengar daripada MPM bahawa mereka akan menyediakan satu perancangan untuk atlet-atlet yang akan menyertai Sukan SEA.

"Saya harap perancangan itu tidak terjejas.

"Saya mahu lebih pendedahan pertandingan.

"Saya harap mereka akan menghantar saya untuk menyertai lebih banyak kejohanan dan latihan di luar negara.

"Saya harap MPM akan melakukan yang lebih baik untuk atlet," katanya.