Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, terpaksa menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA berhubung keputusan pemilihan atlet dan pegawai dalam Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat jawatankuasa yang terdiri daripada empat panel yang hadir, iaitu Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Seri Norza, Datuk Sieh Kok Chi (bekas setiausaha MOM), Ahmad Faedzal Md Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara) serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, di Bukit Jalil, semalam.

Sehubungan itu, Megat Shahriman akur dengan keputusan yang mengekalkan senarai awal atlet kayak dan perahu naga.

"Mereka (jawatankuasa pemilihan) lebih bijaksana dan arif. Saya berasa lega kerana beban di bahu saya telah berkurangan kerana jawatankuasa tersebut boleh memastikan pingat emas dalam Sukan SEA," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat MASCA, Bukit Kiara, pagi tadi.

Kemelut itu bermula selepas senarai atlet dimuktamadkan oleh exco MASCA melalui beberapa pemilihan yang diadakan mengikut prosedur yang sah sebelum Megat Shahriman membuat keputusan untuk menyenaraikan semula nama atlet ke temasya dwitahunan tersebut.

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang pembiayaan skuad negara ke Filipina, ini reaksinya: "Saya telah memaklumkannya secara bertulis, mungkin anda (wartawan) boleh bertanya kepada MOM.

"Mereka lebih bijaksana dan saya mengikut (saranan) barisan panel.

"Inilah pendekatan saya pada kali ini."

Sementara itu, pengurus skuad kayak, Muhammad Asrullah Kamar, mengesahkan atlet tunggal, Adam Aris, menarik diri ekoran tekanan yang berpunca daripada masalah dalaman badan induk berkenaan.

Tempatnya bakal digantikan atlet muda, Ahmad Shafiee Abd Jabar.

Bagaimanapun, pihak pengurusan sedang memujuk atlet senior itu untuk meneruskan cabaran dalam perahu naga.

"Saya bersyukur kerana perkara ini telah diselesaikan oleh pihak MOM," katanya.

Skuad kayak dan perahu naga kini perlu membalas kepercayaan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA yang mengekalkan pengurus bagi kedua-dua acara, termasuk Datuk Michael Wong untuk perahu naga.

Ia susulan ancaman atlet yang mahu menarik diri secara beramai-ramai jika badan pentadbir sukan itu menggugurkan pengurus pasukan.

"Kami masih lagi (dibelenggu) bermacam-macam masalah tetapi saya masih percaya dengan (kemampuan) atlet berdasarkan komitmen dan kemahuan.

"Saya percaya kami melakukan sesuatu dalam Sukan SEA, bahkan mungkin melakar rekod kebangsaan serta masih mampu berjuang untuk menaiki podium," kata Michael.