Malaysia berdepan risiko untuk dimalukan dalam Sukan SEA Filipina bulan depan apabila beberapa atlet skuad kayak dan perahu naga negara merancang untuk memboikot temasya itu susulan penarikan diri ketua pasukan, Adam Aris.

Semalam, atlet berusia 27 tahun itu mengambil keputusan berkenaan selepas tawar hati dengan kemelut dalaman Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) -- melibatkan perbezaan pendapat di antara presiden, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, dan exco dalam penyenaraian atlet dan pengurus pasukan ke temasya berkenaan.

Buat masa ini, beberapa individu daripada skuad kebangsaan telah mengadakan pertemuan dengan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) menjelang mesyuarat khas Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA, petang ini.

Dimaklumkan lapan lagi atlet daripada skuad perahu naga akan menarik diri sekiranya isu berkenaan masih tidak dapat diselesaikan.

"Adam sudah menetapkan pendirian untuk berundur tetapi kalau senarai saya diterima, nama Adam akan tetap saya kekalkan," kata Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong, sambil menahan sebak ketika ditemui di MSN hari ini.

"Dia akan pergi dengan saya.

"Saya rasa dengan pengalamannya, dia dapat membantu pasukan dalam Sukan SEA nanti.

"Saya tidak tahu (mengapa masalah dalaman ini tidak dapat diselesaikan).

"Ia terserah kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan presiden MASCA.

"Nak buat apa buatlah," katanya.