Susulan tindakan Timbalan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Michael Wong, membidas kenyataan yang dikeluarkan bekas presiden persatuan itu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, ketika mengumumkan peletakan jawatannya kelmarin, dua atlet kanu negara mula tampil bagi mendedahkan siapa yang membiayai latihan mereka.

Megat D Shahriman mendakwa bahawa dia telah mengeluarkan dana sebanyak ratusan ribu ringgit demi membiayai perbelanjaan atlet menjelang Sukan SEA Filipina tahun lalu selain menganjurkan beberapa kejohanan seperti Sirkit Kebangsaan.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan Michael, yang mendedahkan bahawa ia merupakan satu penipuan daripada bekas presiden berkenaan.

Di sebalik ketegangan itu, dua atlet negara, Adam Aris dan Ahmad Azfaruddin Lukman, tampil untuk menjelaskan situasi sebenar mengenai perjalanan mereka menjelang temasya berkenaan.

Adam berkata kepada Nadi Arena: "Daripada segi pendaftaran ketika pemilihan dan penyertaan, semuanya dibiayai oleh pasukan dan atlet sendiri.

"Daripada segi pengangkutan dan makanan memang semua daripada atlet sendiri.

"Maknanya, pasukan yang ingin menyertai pemilihan itu perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Tiada tanggungan daripada MASCA.

"Tentang Sirkit Kabangsaan, MASCA tiada Sirkit Kebangsaan bagi tahun 2019," katanya.

Ahmad Azfaruddin menambah: "Memang atlet perlu membiayai pemilihan dan penyertaan.

"Sirkit Kebangsaan bagi sukan kanu pada 2019 juga memang tidak ada."