Terpaksa berkerusi roda akibat kemalangan jalan raya pada 1 Julai lalu bukan penghalang buat jurulatih skuad boccia, Mohd Isa Mohd Nor, bagi memastikan persediaan terbaik atlet negara untuk Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September ini.

Sekalipun terpaksa menggunakan kerusi roda, dia tidak sanggup meninggalkan atletnya tanpa pengawasan ketika temasya itu hampir tiba.

Dia sanggup melambatkan proses pemulihan kakinya asalkan anak buahnya tidak terabai ketika Malaysia begitu mengharapkan emas pertama daripada sukan ini di Kuala Lumpur.

"Walaupun keadaan seperti ini, saya ingin kembali secepat mungkin untuk membantu pasukan, mungkin dengan sedikit pengalaman. Kami amat sayang dengan atlet. Begitulah keazaman saya," katanya.

Hiba dengan nasib yang menimpanya, Isa menunjukkan kecekalan dengan mengutamakan tanggungjawab terhadap negara melebihi kepentingan dirinya sendiri.

Dalam tiga penampilan Malaysia dalam acara seperti boling padang dan petanque itu sejak Sukan Para ASEAN Myanmar 2013, pencapaian terbaik negara ialah menerusi sandaran utama negara, Lee Chee Hong dan Lee Ah Kit, dengan membawa pulang pingat perak dan gangsa.

Namun, kehadiran atlet baru, Nooraskuzaimey Mat Salim, yang juga digelar 'gadis magis' oleh rakan sepasukannya diharap mampu mengubah pencapaian negara dengan menghadirkan emas pertama bagi sukan ini.

"Ini kejohanan pertama, rasa berdebar itu memang ada. Kami perlu berdepan dengan atlet yang lebih senior.

"Sebagai orang baru, saya mahu berdepan cabaran atlet lebih berbakat dan saya akan melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga dan negara saya," katanya.