Pemain golf muda negara, Ezekiel Suzearitz, meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok lima terbaik setiap kali menyertai saingan peringkat antarabangsa.

Meskipun menduduki tempat kedua dalam saingan Terbuka Remaja Australia tahun lalu, pemain berusia 10 tahun itu berkata perjalanan karier yang dilaluinya masih jauh dan bertekad untuk memperbaiki kedudukan ke-18 yang diraih sewaktu menyertai Kejohanan Golf Eropah Uskids tiga tahun lalu.

Pemenang Sirkit SportExcel sebanyak 18 kali itu kini menerima sentuhan Chris Holden selaku pengendali dan berpusat di Kelab Golf The Mines Resort, Seri Kembangan.

"Kalau kejohanan dalam Malaysia, saya menyasarkan untuk meraih tempat pertama tetapi jika menyertai saingan antarabangsa, kelompok lima terbaik mencukupi," katanya dalam temu bual [email protected] hari ini.

Sementara itu, bapa Ezekiel, Suzearitz Suhimi, mengakui kagum dengan prestasi anaknya yang semakin meningkat tatkala atlet berusia 10 tahun itu mampu memberi cabaran kepada pesaing yang melebihi had umurnya.

Meskipun pembangunan golf peringkat akar umbi Malaysia tidak sehebat negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Suzearitz tetap tidak patah semangat untuk memastikan anaknya memenuhi potensi untuk satu hari kelak menjadi sandaran utama negara.

"Setiap latihan berubah mengikut kejohanan yang akan disertai. Jurulatih, Holden, akan berbincang mengenai jenis latihan yang akan diterapkan," katanya

"Peningkatan paling ketara dilihat ketika berusia enam tahun, di mana dia menyertai kategori umur lapan tahun.

Untuk rekod, Ezekiel menggondol Anugerah Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) selama tiga tahun berturut-turut sejak 2015.