Bekas penyerang hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bimbang dengan posisi penjaga gol kebangsaan menjelang aksi play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan, selepas Hairi Abd Rahman menjalani pembedahan lutut sementara S. Kumar pula masih menjalani rawatan pemulihan.

Kekebalan benteng akhir negara menjadi persoalan ketika ini.

Hairi terpaksa berehat sekurang-kurangnya selama dua bulan selepas menjalani pembedahan lutut, sementara Kumar baru 80 peratus cergas daripada masalah hamstring.

Malaysia memiliki dua lagi penjaga gol simpanan, Mohd Hafizuddin Othman dan Zaimi Md Deris, namun prestasi mereka tidak cukup meyakinkan untuk menghadapi aksi getir berkenaan.

"Ketika bertahan, penjaga gol memainkan peranan yang sangat penting.

"Kalau tidak ada penjaga gol berpengalaman, ia sangat masalah.

"Kalau kita kekurangan daripada penjaga gol, kita akan menghadapi masalah besar dan ia perlu dilihat oleh ketua jurulatih kebangsaan (Roelant Otlmans)," katanya.

Skuad negara akan menyambung semula sesi latihan, Isnin ini.

The Malaysian Hockey Tigers dilanda krisis kecederaan apabila pemain tengah, Mohd Haziq Shamsul, perlu menjalani pembedahan meniscus sementara penyerang, Firhan Ashaari, anterior cruciate ligament (ACL).

Situasi itu memberi peluang kepada pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, untuk menyertai kem latihan kebangsaan.

"Nabil kerap mewakili negara dan dia mempunyai pengalaman. Mungkin ia satu tindakan yang tepat untuk memanggilnya.

"Kalau menyenaraikan pemain kurang berpengalaman, mungkin ia satu keadaan yang sukar tetapi saya belum pasti bagaimana dengan keadaan semasa Nabil," tambahnya.