Skuad memanah negara akan berangkat ke Korea Selatan, esok, sambil diiringi kebimbangan -- tidak mempunyai pemanah simpanan menjelang kelayakan Sukan Olimpik di Perancis.

Persekutuan Memanah Dunia (WA) menghadkan penyertaan atlet bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Ia menjadi cabaran sukar buat trio recurve negara yang terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Akmal Nor Hasrin dan Zarif Syahir Zolkefli dalam Kejohanan Piala Asia di Korea sebelum cabaran mereka beralih ke Perancis.

Akmal bertekad mengiringi Khairul Anuar sebagai pemanah pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sambil menyifatkan peraturan berkenaan mampu memberi kelebihan kepada negara 'underdog' seperti Malaysia.

Peraturan WA meningkatkan tekanan kepada negara pilihan seperti pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Amerika Syarikat (AS), dan gangsa, Itali, dalam misi memburu tiga slot terakhir recurve berpasukan lelaki.

"Khairul Anuar seorang pemanah berpengalaman sementara Zarif Syahir walaupun masih baru, masing-masing dalam prestasi baik," katanya ketika ditemu bual maya wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.




Dalam masa sama, mereka menetapkan prosedur operasi standards (SOP) sendiri bagi menjauhi perkara yang tidak diingini.

"Kami menitik beratkan soal kesihatan sebab kami tidak tahu apa yang boleh terjadi di luar negara.

"Setakat ini semuanya dalam keadaan baik, lagipun kami sudah mendapatkan dua dos vaksin daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Apa yang kami perlu jaga ialah menitik beratkan soal kebersihan seperti (kerap) membasuh tangan, memakai pelitup muka, elakkan bercakap dengan orang luar dan orang yang berpenyakit.

"Ia boleh bantu kami hindari (dijangkiti) sebarang penyakit di luar negara."