Bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri, menganggap Tan Cheng Hoe perlu menggunakan peraturan lima pertukaran untuk memerangkap Vietnam tanpa mengorbankan Safawi Rasid mahupun Mohamadou Sumareh.

Kelibat kedua-dua pemain itu di atas padang serentak dilihat bukan satu percaturan menarik selepas mereka bergelut di bahagian kiri sedangkan lebih selesa di sayap kanan untuk pertemuan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 itu, awal pagi Sabtu ini.

"Saya tidak setuju.

"Dua pemain ini menjadi percaturan Tan Cheng Hoe dari mula pasukan dibentuk sampai sekarang.

"Kuasa veto terletak di tangan jurulatih.

"Perkara kedua-dua pemain ini bukan pasal keserasian mahupun perlu bermain atau tidak. Tetapi perhatian kita (tertumpu) adakah mereka diletakkan dalam kesebelasan utama," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.

Vietnam bijak menggunakan kesempatan penggantian pemain apabila meledak empat gol selepas memasukkan 'kaki segar' ketika menghukum Indonesia 4-0 sejurus separuh masa pertama dalam kempen di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin.

"Pertukaran lima pemain sebenarnya boleh menjadi kelebihan kepada pasukan untuk membuat taktikal pemain yang akan dibawa masuk atau tidak.

"Kalau salah seorang pemain ini tidak beraksi, Malaysia masih boleh tukar pemain lain. Jadi percaturan (menggunakan khidmat) Safawi-Sumareh boleh digunakan dalam lima pertukaran itu.

"Ia bukan isu (pokok), (soal sebenar) sebaliknya terletak (mengenai) siapakah pemain yang akan turun dulu dan yang menjadi pemain gantian," katanya.

Lantas, perlawanan ini diibaratkan sebagai penentu kedudukan Malaysia dalam kempen kali ini.

"(Pertembungan ini) bukan seperti lawan UAE kerana Malaysia bernasib baik apabila masih ada baki dua perlawanan.

"Tetapi menentang Vietnam kita tiada pilihan.

"Suka tidak suka, dengan cara mana sekalipun, (atau perlu) letak lima pemain di depan untuk menjaringkan gol -- sesuatu perlu dilakukan," katanya lagi.





Begitupun, Asmawi mengingatkan Harimau Malaya mengenai keampuhan benteng yang bakal dihadapi selepas hanya bolos sekali berbanding 10 oleh pasukan negara, satu jurang yang begitu jauh tetapi rekod jaringan agak seimbang.

"Dua perkara yang Malaysia perlu sesuaikan -- sistem kena berubah dan pemain yang diturunkan juga perlu berdasarkan taktikal.

"Rekod bolos itu yang membezakan. Vietnam tidak perlu hiraukan pasal pertahanan mereka, kalau mereka bolos satu gol sekalipun kerana mereka tetap mampu melancarkan serangan untuk mencari jaringan.

"Tapi pemain Malaysia kena buat dua kerja -- pergi menyerang dan bertahan, katanya.