Kelantan Warriors melaungkan amaran untuk menjerat lawan, Black Panthers Pulau Pinang, menjelang perlawanan pembukaan Liga Sepak Takraw (STL), yang akan bermula Sabtu ini.

Laungan keyakinan itu disuarakan killer pasukan Kelantan, Nur Yuslie Md Jusoh.

Dengan menampilkan gandingan bersama tekong, Hisham Mat, dan apit kiri, Aidil Aiman, Nur Yuslie mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai mangsa mereka dalam perlawanan pembukaan STL.

Antara yang dititikberatkan adalah kelicikan servis Pulau Pinang yang dikepalai pemain kebangsaan, Ahmad Syahir Rosdi, yang mampu menghadirkan ancaman buat Kelantan.

"Bagi kami, ia sedikit sukar untuk berhadapan Pulau Pinang kerana mereka mempunyai kelebihan dari segi servis. Kini kami sedang berlatih bagaimana untuk berhadapan dengan Syahir terutamanya," jelas Yuslie

Di kem Pulau Pinang pula, tekong, Mohammad Fazil Asri, berasakan Kelantan adalah sebuah pasukan yang liat untuk dikalahkan.

Sungguhpun begitu, dia tetap yakin pasukannya juga bukan calang-calang untuk dikalahkan, kerana musim lalu mereka muncul sebagai naib juara di belakang pasukan ATM.

"Mereka mempunyai pertahanan yang cukup baik, saya memuji cara Kelantan bertahan. Pulau Pinang tidak boleh memandang rendah kepada mereka, kami perlu melakukan sesuatu apabila bertemu mereka nanti," ujar Fazil.