Tuan rumah, Kelantan, mengotakan janji untuk memenangi pingat emas berpasukan bawah 12 (b-12) Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2017 apabila menumpaskan musuh tradisi, Selangor, 2-0 di Dewan Badminton, Universiti Sains Malaysia (USM), pagi tadi.

Ketua jurulatih, Zairullah Yusof, menyifatkan semangat juang yang tinggi dan keinginan untuk menang menjadi faktor utama kejayaan pemainnya sehingga mampu bergelar juara.

“Alhamdulillah pemain berjaya menyerap segala tekanan dan bermain sebagai satu pasukan untuk mengatasi cabaran getir skuad Merah Kuning.

“Bukan satu kemenangan yang mudah (2-0), sebaliknya pemain percaya inilah masa yang terbaik untuk mencipta sejarah,” katanya.

Zairullah juga menyifatkan Kelantan mendapat kemenangan psikologi sebelum perlawanan akhir bermula kerana telah menumpaskan lawan yang sama di peringkat kumpulan.

"Kami mempunyai sedikit kelebihan psikologi kerana telah menumpaskan Selangor 2-1 dalam Kumpulan B.

"Jurulatih juga telah mengenal pasti segala kekuatan dan kelemahan Selangor dan hasilnya pingat emas berjaya digenggam,” katanya.

Dalam saingan sengit pagi tadi, Kelantan menurunkan Regu A yang dibarisi Mohamad Amirul Amir (tekong), Mohammad Naim Ahmad Zaidi (apit kanan) dan Ahmad Danish Irfan Azwan (apit kiri) untuk mengatasi cabaran Regu A Selangor yang diwakili oleh Ahmad Irwan Iskandar (tekong), Ahmad Shafiq Daniel (apit kanan) dan Jefri Ahmad (apit kiri) 2-0 (21-13, 21-16).

Mata kemenangan Kelantan disumbangkan Regu B yang diwakili Muhammad Asif Aslah (tekong), Wan Muhammad Razzuq (apit kanan) dan Muhammad Zulfikri Wajawwa (apit kiri) yang beraksi cemerlang menumpaskan regu Selangor 2-0 (21-19, 21-15).

Terdahulu, Kedah mengesahkan tempat ketiga miliknya apabila menumpaskan Johor 2-0.

Keputusan Penuh Bawah 12
Johan: Kelantan
Naib Johan: Selangor
Ketiga: Kedah
Keempat: Johor