Lagi rekod kebangsaan berjaya dipecahkan di Lapang Sasar Menembak Subang sempena Kejohanan Trofi Tun Haniff 2017, kali ini menerusi penembak kebangsaan, Choo Wen Yan, dalam acara 10 meter (m) air pistol individu.

Saingan 10m air pistol individu hari ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara Eddy Chew, Jonathan Wong dan Choo Wen Yan.

Eddy Chew pada awalnya lebih unggul untuk mendahului senarai pendahulu, sehinggalah persaingan terjurus di antara dia dan Wen Yan.

Wen Yan membuat bidikan tepat di pusingan akhir untuk memadam rekod kebangsaan milik Eddy yang dilakar tahun lalu.

Dia mencatat 237.4 mata untuk meraih pingat emas, sementara Eddy terpaksa berpuas hati di tangga kedua dengan 235.7 mata.

"Sebenarnya, saya tidak banyak berfikir mengenai rancangan memintas kedudukan Eddy.

"Tetapi dalam masa yang sama, saya berasa mampu memotong kedudukannya sebab dia ada membuat kesilapan.

"Mungkin inilah rezeki saya," katanya.

Penembak kebangsaan, Jonathan Wong, gagal untuk mengekalkan rentak cemerlang dan akhirnya akur untuk menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan mengutip mata keseluruhan, 216.4.

"Permulaan saya kurang menjadi tetapi selepas itu saya mula mendapat momentum.

"Namun, dua bidikan terakhir saya agak kurang menjadi.

"Mungkin ketika itu aspek mental perlu diberi perhatian lebih," kata Jonathan.