Atlet olahraga veteran negara, Siti Fatimah Mohd, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul pelari terpantas acara reben biru, pecut 100 meter wanita sekaligus meraih pingat emas apabila mencatatkan 12.27 saat dalam saingan Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan.

Kejutan berlaku bagi saingan lelaki, apabila tanpa diduga Zulfiqar Ismail dari Terengganu menewaskan beberapa pilihan dengan catatan 10.52 saat untuk muncul juara, sementara pelari terpantas Asia Tenggara 2019, Haiqal Hanafi terpaksa berpuas hati di tangga kelima.

Terdahulu dalam acara 400 meter berpagar, Ruslem Zikry Putra turut membantu Terengganu raih emas apabila melakar catatan 53.67 saat, sementara saingan wanita pula menyaksikan peserta Sarawak, Mandy Gol, menggondol emas dengan catatan 1 minit 05.18 saat.

Beralih ke saingan lontar tukul besi wanita menyaksikan pemegang rekod kebangsaan, Grace Wong, tidak menghadapi masalah untuk meraih emas selepas melakar catatan 59.79 meter.

Aksi lompat jauh lelaki pula menyaksikan peserta pilihan, Andre Annura bergelut untuk membuat catatan terbaik dalam keadaan becak dan hujan sekaligus beri laluan buat Luqman Hakim Ramlan untuk memenangi pingat emas dengan catatan 7.23 meter.