Pemain tenis remaja negara, Muhammad Nuriman Noor Arifin, bertekad untuk memanfaatkan Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean di Semarang, Indonesia, bulan depan sebagai platform terbaik untuk menyinar di pentas antarabangsa.

Pemain muda itu mula menceburi tenis seawal usia lima tahun dan walaupun sedar sukan itu kurang popular di tanah air, dia tetap optimis untuk memperoleh masa depan cerah dalam sukan berkenaan.

Pemain yang berada di tangga ke-27 ranking senior negara itu melihat saingan di Semarang berkenaan sebagai permulaan kepada kegemilangannya dalam sukan tenis.

"Idola saya ialah Rafael Nadal sebab dia amat tenang sewaktu bermain.

"Misi saya adalah untuk menyertai sirkit profesional dan menjadi pemain profesional selepas ini.

"Setiap tahun, saya mahu semakin meningkat dan tidak mahu semakin merudum.

"Jadi, saya kena berusaha lebih lagi, terutama daripada segi kecergasan," katanya.

Tambahnya, dia yakin untuk memperoleh pingat dalam kejohanan berkenaan walaupun sedar cabaran besar yang menantinya.

"Ia merupakan kejohanan terbesar yang pernah saya sertai.

"Ia umpama Sukan SEA di peringkat remaja.

"Saya berharap dapat beraksi baik dan menjadi juara," tambahnya.