Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, gagal mempertahankan pingat emas kategori F20 (masalah pembelajaran) dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi.

Pemenang pingat emas edisi 2017 di London itu hampir mempertahankan pingat emasnya selepas mencatatkan lontaran sejauh 17.03 meter dalam percubaan kelimanya sebelum dipintas atlet Ukraine, Maksym Koval, yang melakukan 17.11m dalam percubaan terakhir, menurut laman web www.paralympic.org.

Efstratios Nikolaidis dari Greece membawa pulang gangsa selepas mencatatkan 16.61m.

Bagaimanapun, lontaran sejauh 17.03m atlet para negara itu adalah rendah daripada rekod 17.29m yang pernah dicatatkannya dalam edisi 2017.

Untuk rekod, Ziyad juga memenangi pingat emas kejohanan sama dalam edisi di Lyon, Perancis pada 2013 dan meraih gangsa di Doha pada 2015.

-- BERNAMA