Pemanah kebangsaan, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, menyelamatkan maruah negara apabila meraih emas tunggal dalam Kejohanan Memanah Universiti Asia kali pertama menerusi acara individu compound wanita.

Biarpun beraksi dalam tiga acara final, hanya acara individu berjaya dimenangi Fatin selepas mengetepikan pilihan kelima dari Taiwan, Lee Hsuan Ting, menerusi keputusan 144 berbalas 139.

Kegagalan dalam dua final sebelum itu melalui berpasukan wanita dan compound, ternyata memperkuatkan azam Fatin untuk tidak menggigit jari kali ketiga berturut-turut.

Daripada 15 panahan secara keseluruhan, Fatin berjaya melakukan bidikan sempurna 10 mata sebanyak sembilan kali.

"Saya mahu memberikan yang terbaik dalam acara terakhir saya dalam kejohanan ini. Saya berjaya menghasilkan persembahan terbaik dan merangkul pingat emas," katanya.

Secara keseluruhan, skuad memanah negara berjaya meraih satu pingat emas, lima perak dan satu gangsa, dengan Taiwan muncul juara keseluruhan apabila menyapu sembilan pingat emas.

Menurut jurulatih, Adnan Ahmad, biarpun kecewa sasaran awal tiga pingat emas gagal digapai, namun beliau menerima hakikat kekuatan Taiwan yang menghantar pemanah terbaik mereka dalam kejohanan kali ini.

"Kami sudah menjangka saingan yang kuat daripada Taiwan, mereka menurunkan pemanah terbaik dan tidak dinafikan mampu bergelar juara keseluruhan," kata Adnan.

Pencapaian pemanahwanita lain turut dipuji kerana berjaya menghadirkan pingat perak bagi acara recurve dan compound berpasukan wanita.