Selepas Khairul Anuar Mohamad membuktikan kejayaan meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, kini giliran barisan pemanah wanita negara memburu tempat ke temasya berprestij itu dalam Kejohanan Memanah Asia Bangkokbulan depan.

Pemanah recurve wanita negara, Nuramalia Haneesha Mazlan, menganggap ini sebagai peluang buatnya mencabar diri dalam merealisasikan impian beraksi di pentas Olimpik.

Kejohanan tersebut menawarkan slot automatik ke temasya berprestij itu dalam acara recurve individu.

"Banyak negara semakin meningkat naik dalam saingan recurve dan kami sudah mengkaji kemampuan lawan sebelum menghadapi kejohanan di Bangkok nanti," katanya.

Sementara itu, pemanah recurve lelaki negara, Haziq Kamaruddin, terpaksa menunggu sehingga Jun 2020 bagi menghadapi Piala Dunia Berlin yang turut menawarkan slot ke Tokyo.

Pemanah berusia 26 tahun itu menyasarkan tempat dalam acara recurve berpasukan yang juga menjadi slot automatik bagi acara individu.

"Kejohanan itu menawarkan slot ke Tokyo dalam acara individu dan Khairul telah mendapatkan slot tersebut menerusi kejohanan sebelum ini.

"Tumpuan saya dan pemanah lain di Bangkok nanti adalah menguji kemampuan diri sendiri bagi menghadapi Sukan SEA nanti," kata Haziq.