Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, membawa misi serampang dua mata apabila bukan sahaja menyasarkan catatan 2.18 meter, namun mahu membuktikan dirinya masih relevan untuk diserap ke dalam program baru Majlis Sukan Negara (MSN) setelah pembubaran Program Podium.

Hup Wei membuat pusingan U biarpun sebelum ini menyuarakan hasrat untuk berehat sehingga hujung tahun setelah kekecewaan dalam saingan Sukan Olimpik Tokyo Ogos lalu.

Walaupun terdapat khabar ini dia mungkin dalam pertimbangan untuk bersara, Hup Wei melaungkan keazaman untuk cuba menunjukkan potensinya dengan saingan hujung minggu ini dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan bakal jadi penentu.

Ini bermakna, Hup Wei tidak akan memberi laluan mudah buat 17 lagi pencabar, rata-ratanya atlet muda yang bakal jadikan saingan hujung minggu ini untuk persiapan Sukan Malaysia (Sukma) tahun hadapan.

Jika ia bakal direalisasikan, maka tahun hadapan bakal genap 20 tahun buat atlet dari Dengkil itu berkecimpung dalam arena olahraga.

Di peringkat Sukan SEA, Hup Wei telah pun menggondol empat pingat emas dengan kali terakhir dalam Sukan SEA Manila 2019.