Atlet karate negara, Prem Kumar, perlu sembuh daripada kecederaan patah tulang kaki dengan segera selepas seminggu menjalani pembedahan bagi memastikan mampu beraksi dalam Kejohanan Karate Dunia di Sepanyol, bulan depan.

Prem patah tulang kaki kanan sewaktu beraksi dalam Sukan Asia Indonesia dan bengkak yang dialami semasa sesi latihan baru-baru ini memaksanya untuk menjalani pembedahan dengan kadar segera.

Proses pemulihan mengambil masa kira-kira sebulan untuk sembuh sepenuhnya dengan Kejohanan Dunia pula akan bermula 6 November nanti.

Biarpun masa makin suntuk buat pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu untuk melakukan persiapan, dia positif dengan tahap kemampuannya ketika ini untuk terus beraksi di Sepanyol.

"Kecederaan ini tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih, mungkin saya boleh kembali berlatih secara normal dalam tempoh empat minggu lagi.

"Secara mentalnya, saya sudah bersedia. Cuma saya perlu bersedia untuk menghadapi Kejohanan Dunia," katanya.

Tahun 2019 paling utama buat Prem kerana dia perlu memastikan keputusan terbaik dapat diraih dalam setiap Kejohanan Liga Premier Karate 1 bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Masih banyak peringkat yang perlu saya lalui.

"Lagipun, kategori saya dalam Sukan Olimpik sudah ditukar kepada kategori 67kg, bukannya lagi 60kg.

"Cabaran semakin sukar dan saya pula belum bersedia untuk itu.

"Saya perlu melihat terlebih dahulu sama ada saya mampu mencabar Liga Premier Karate 1, kemudian barulah saya fokus untuk Sukan Olimpik," katanya lagi.