Pasukan hoki perempuan Kuala Lumpur terus cemerlang selepas memastikan rekod bersih tanpa kalah dan tanpa bolos sepanjang saingan peringkat kumpulan apabila menundukkan Johor 2-0 untuk melangkah ke pusingan kedua.

KL dan Johor masing-masing turun dengan misi merebut takhta Kumpulan C, dengan kedua-duanya memegang rekod bersih tanpa sebarang kekalahan dan tanpa dibolosi sebarang gol dalam dua aksi terdahulu.

Terikat dengan enam mata, KL tampil agresif melancarkan serangan ke gawang Johor.

Seawal minit ketiga, kealpaan Johor membawa padah apabila percubaan Hasya Syahida Saifuddin berjaya menembusi gawang mereka untuk kelebihan menuju ke suku kedua memihak kepada KL.

Johor terus mengintai peluang terbaik untuk meledak jaringan penyamaan, malangnya terus menemui jalan buntu.

Sebaliknya, KL bijak memanfaatkan peluang terhidang untuk menyumbat gol kedua pada minit ke-19, sekaligus memberikan keselesaan buat skuad bimbingan Kannagi Arumugam mendahului permainan 2-0 yang kekal sehingga wisel penamat.

“Kami memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol, ini merupakan perlawanan terakhir dalam peringkat kumpulan,” jelas Kannagi.